Kegiatan ekonomi Ekonomi Malaysia

Sara diri ialah kegiatan ekonomi yang bertujuan atau sekadar mampu untuk menampung keperluan harian keluarga. Maknanya, hasil kegiatan ekonomi akan digunakan untuk keluarga mereka.Segala kelebihan pengeluaran akan dijual, hasil jualan tersebut akan digunakan untuk membeli barangan keperluan yang lain yang juga menjadi asas keperluan seperti pakaian dan sebagainya. Kegiatan ekonomi sara diri yang utama ialah bercucuk tanam, menangkap ikan dan memungut hasil hutan. Kegiatan sebegini tidak memerlukan penggunaan mata wang yang banyak.

Sistem ekonomi komersil hanya wujud di Tanah Melayu setelah kehadiran penjajah British pada abad ke-19. Kehadiran mereka telah mempergiatkan bentuk ekonomi tersebut memandangkan mereka mengutip cukai daripada rakyat, memaksa rakyat mendapatkan duit tunai. Ini kerana mereka yang gagal menjelaskan cukai akan dihukum. Salah satu perkembangan yang nyata semasa itu dapat dilihat dalam sektor perdagangan dan perlombongan yang merupakan kegiatan ekonomi sara diri masyarakat Melayu tradisional yang sangat penting. Merujuk kepadanya, padi pula merupakan tanaman utama memandangkan ia adalah makanan asasi masyarakat di rantau ini.

Di Malaysia, dua jenis padi telah diusahakan iaitu padi sawah dan padi huma (bukit). Padi sawah ditanam di kawasan rendah dan di lembah-lembah sungai yang subur dengan tanah alluvium. Penanaman padi sawah dipercayai diperkenalkan oleh orang Thai di negeri-negeri Melayu Utara dan orang Minangkabau di negeri-negeri Selatan.

Negeri-negeri yang terkenal dalam penanaman padi sawah di Tanah Melayu ialah Kedah, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang. Antara negeri ini, Kedah merupakan negeri yang terkenal sebagai jelapang padi. Menjelang abad ke-18, dataran Perlis dan Seberang Perai turut menjadi kawasan penanaman padi yang utama. Penanaman padi sawah ini berkembang dengan pesat, dipengaruhi oleh sistem pengairan yang digunakan sejak abad ke-19.

Air telah dibawa masuk ke sawah padi melalui tali air dan terusan. Antara terusan yang terkenal ialah Terusan Wan Mat Saman yang dibina pada tahun 1885 di Kedah. Di Negeri Sembilan pula, kincir telah dibina untuk membawa air masuk ke sawah padi. Berbanding dengan penanaman padi sawah, padi huma ditanam secara berpindah-randah setiap kali penanaman dijalankan kerana kesuburan tanah menghilang atau berkurangan. Biasanya, padi huma ditanam di kawasan yang bergunung-ganang. Sebagai contoh, suku kaum Dusun dari Murut di Sabah dan Sarawak yang tinggal di kawasan pedalaman melakukan kegiatan penanaman padi huma. Walau bagaimanapun, terdapat juga tanaman-tanaman lain sebagai pelengkap kepada hasil padi seperti ubi, sayur-sayuran dan sebagainya. Penanaman tanaman ini menjadi penting kerana ia merupakan “makanan selang”. Selain itu, ubi juga dapat dijadikan sebahagian daripada makanan utama sewaktu bekalan beras berkurangan atau habis.